Rahsia di Sebalik Estetik Coachella
- Asya
- 1 day ago
- 2 min read
Bagi Gen-Z, Coachella bukan sahaja tentang hiburan muzik, tetapi merupakan platform utama untuk pembentukan identiti digital dan pengalaman. Generasi ini menjadi pemacu utama trend fesyen festival-core yang sering tular di TikTok dan Instagram, di mana perancangan pakaian festival selama tiga hari dianggap sebagai satu projek seni yang besar dan serius.
Tapi, adakah mereka tahu sejarah festival ini atau semata-mata mengikut trend dan hype semasa?

Sejarah Coachella bermula daripada satu tindakan protes pada tahun 1993 apabila kumpulan rock Pearl Jam bertelagah dengan Ticketmaster mengenai yuran perkhidmatan yang terlalu tinggi. Sebagai tanda protes, mereka mengadakan konsert di Empire Polo Club, sebuah lokasi terpencil di Indio, California yang jarang digunakan untuk acara muzik besar.
Kejayaan konsert tersebut membuktikan bahawa lokasi itu mempunyai potensi yang unik. Lalu, pada tahun 1999, festival Coachella yang pertama dianjurkan secara rasmi. Walaupun edisi sulungnya tidak membawa keuntungan besar, kualiti barisan artis dan suasana yang eksotik mula menarik perhatian peminat muzik alternatif di seluruh dunia.
Transformasi Coachella daripada acara muzik indie kepada fenomena arus perdana didorong oleh gabungan pelbagai genre muzik yang melangkaui sempadan rock, hip-hop, EDM, dan pop. Kehadiran bintang besar seperti Beyoncé, Daft Punk, dan Taylor Swift telah menukar festival ini menjadi acara yang wajib dihadiri bagi peminat muzik global.
Berbeza dengan acara The Met Gala yang khas untuk penyanyi dan pelakon elit, Coachella diviralkan dengan penglibatan aktif influencer di media sosial. Dengan menggayakan pakaian unik di hadapan pemasangan arca seni yang megah dan ikonik, mereka telah menjadikan Coachella sebagai pentas fesyen terbesar di dunia bagi orang-orang biasa.
Pada masa yang sama, pentas Coachella sering digunakan oleh artis untuk menyampaikan mesej politik yang kuat kepada jutaan penonton di seluruh dunia. Sebagai contoh, persembahan bersejarah Beyoncé pada tahun 2018 (dikenali sebagai Beychella) bukan sekadar konsert, tetapi satu kenyataan politik tentang kebudayaan orang kulit hitam di Amerika dan pemerkasaan wanita.
Tahun ini pula, The Strokes menutup persembahan mereka di Coachella 2026 dengan persembahan "Oblivius" yang sangat diperdebatkan dan berunsur politik. Kumpulan itu memaparkan montaj video berdurasi 6 minit di skrin yang mengutuk campur tangan asing A.S., rejim yang disokongi CIA, serta tindakan Israel-A.S. di Gaza. "What side are you standing on?" tanya Julian Casablancas, penyanyi utama The Strokes ketika persembahannya.
Tanpa kita sedari, Coachella juga telah menjadi medan pertempuran bagi politik identiti. Keputusan penganjur untuk meletakkan artis dari pelbagai latar belakang sebagai headliner, seperti Bad Bunny (artis Latin pertama) dan BLACKPINK (kumpulan K-pop pertama), adalah satu langkah politik untuk mengiktiraf peralihan demografi global. Ini mencerminkan tuntutan politik Gen-Z yang mahukan kepelbagaian dan inklusiviti dalam ruang awam, sekaligus mencabar dominasi budaya Barat yang bersifat eurocentric (kecenderungan untuk melihat dunia melalui perspektif Eropah, sering menampilkan mereka sebagai lebih superior).
Coachella telah berjaya berevolusi daripada sebuah konsert protes kecil kepada sebuah empayar budaya yang mencorakkan tingkah laku sosial generasi masa kini. Walaupun dianggap semakin komersial, pengaruhnya terhadap muzik dan gaya hidup global tetap menyeluruh, selagi manusia terus menceritakan pengalaman mereka secara visual dan digital.




Comments