Seni atau Sampah? Brand ‘Tunggang’ Sensitiviti Demi Viral
- Asya
- Apr 15
- 2 min read
Pada asalnya, reka bentuk pakaian atau aksesori yang berinovasi sepatutnya menyelesaikan masalah serta menambah nilai kepada kehidupan manusia. Bukannya mencetuskan konflik atau menghina kepercayaan. Kebelakangan ini, pasaran dunia dikejutkan dengan kemunculan pelbagai produk yang bukan sahaja mencabar estetika konvensional, malah menyentuh urat saraf sensitiviti agama dan norma kesopanan masyarakat.

Dunia fesyen high-end telah memperkenalkan trend yang lebih provokatif. Daripada pakaian berkoyak kini muncul pula pakaian yang direka sengaja untuk kelihatan kotor, termasuklah seluar dalam yang mempunyai kesan kotor (stained appearance) pada bahagian genitalia.
Secara sosiologinya, trend ini dianggap sebagai satu bentuk romantisasi kemiskinan dan kekotoran, atau poverty porn. Pereka fesyen mewah menggunakan estetika kekotoran, yang bagi sesetengah golongan marhaen adalah satu realiti kehidupan, sebagai satu kenyataan gaya bagi golongan elit demi mewujudkan elemen relatable.
Dari perspektif budaya Timur dan nilai universal kebersihan pula, reka bentuk seumpama ini dianggap sebagai satu penghinaan terhadap logik fungsi pakaian itu sendiri. Pakaian dalam adalah garis pertahanan pertama bagi kebersihan peribadi. Apabila elemen "kotor” dijadikan motif estetik, ia melanggar batas kesopanan dan dianggap sebagai satu cubaan murahan untuk mendapatkan perhatian media melalui shock value.
Sejadah juga, yang secara tradisinya merupakan alat fundamental bagi ibadah umat Islam kini tidak terlepas daripada arus pemodenan. Penggunaan corak yang terlalu radikal dan minimalis dilihat sebagai gangguan kepada tujuan asal penciptaan sejadah, iaitu untuk memupuk kekhusyukan. Dengan memasukkan simbol abstrak yang mengelirukan atau ruang kosong, fokus pengguna telah dialihkan daripada Pencipta kepada objek sujud itu sendiri.
Mengikut teori pemasaran moden, generasi ini sedang berada dalam fasa Economy of Attention. Bagi sesetengah jenama, publisiti negatif lebih baik daripada tiada publisiti langsung. Kontroversi yang timbul daripada reka bentuk pakaian, barang keperluan dan aksesori akan menjamin jenama tersebut viral di platform digital tanpa perlu mengeluarkan kos iklan yang tinggi. Walau bagaimanapun, pereka dan syarikat perniagaan mempunyai tanggungjawab etika. Kegagalan memahami konteks budaya dan agama dalam proses reka bentuk membuktikan wujudnya jurang empati antara pereka dan audiens sasaran.
Walaupun hak untuk berkarya adalah bebas, namun ia tidak bersifat mutlak. Inovasi terhadap barangan keagamaan perlu dilakukan dengan penuh rasa hormat, manakala rekaan pakaian seharian perlu kekal berpijak pada norma kesopanan dan kebersihan yang munasabah.
Sokongan terhadap produk yang sengaja mencabar sensitiviti hanya akan menggalakkan lebih banyak jenama untuk meminggirkan nilai moral demi keuntungan. Kreativiti sejati adalah kemampuan untuk menghasilkan sesuatu yang baharu tanpa perlu meruntuhkan tiang-tiang hormat yang menyokong harmoni sosial.




Comments