Tailor-Made vs Ready-to-Wear: Kecekapan atau Keunikan?
- Asya
- Mar 30
- 2 min read
Masih segar dalam kolektif ingatan kita, suatu ketika dahulu, persediaan menyambut Aidilfitri bermula seawal bulan Ramadan lagi. Suasana rumah pasti akan riuh dengan pesanan ibu yang tidak putus-putus: “Cepat hantar kain ke tukang jahit sebelum tutup tempahan!” Maka, bermulalah penantian selama berbulan-bulan dengan penuh debar, dan apa yang hanya mampu dilakukan adalah berharap agar apabila baju akhirnya siap, potongan lengan tidak terlalu pendek atau kain tidak terlalu ketat sehingga menjejaskan keselesaan.
Namun, seiring dengan kepantasan teknologi dan tuntutan gaya hidup moden, landskap penyediaan pakaian tradisi telah berubah secara drastik. Mengapa perlu melalui proses penantian yang panjang jika sekarang boleh sahaja terus memandu ke kompleks-kompleks besar seperti Jakel, Bulan Bintang, atau Ariani? Dalam tempoh sesingkat 30 minit, kita sudah mampu memiliki sepasang baju yang lengkap, sempurna, dan sedia untuk digayakan.
Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat masa kini lebih cenderung memilih pakaian sedia ada atau Ready-To-Wear (RTW). Alasan utama tertumpu kepada aspek efficiency dan jaminan saiz. Dalam dunia yang serba pantas, pengguna menghargai kepastian dan kemudahan. Jika tema warna keluarga telah ditetapkan namun terdapat ralat pada ukuran, mereka boleh terus menukar kepada saiz yang lebih tepat di kaunter yang sama, tanpa sebarang penantian.
Sistem RTW ini berjaya menghapuskan drama tahunan yang sering menghantui orang ramai dan tiada lagi isu baju yang tidak siap seminggu sebelum Syawal atau kerisauan apabila tukang jahit tiba-tiba gagal dihubungi. Segalanya sudah pun tersedia di depan mata, sekali gus mengurangkan tekanan mental dan membolehkan fokus diberikan kepada ibadat di bulan Ramadhan.
Walau bagaimanapun, di sebalik kemudahan dan kepantasan yang ditawarkan oleh industri RTW, wujud satu risiko yang sukar dielakkan iaitu kehilangan keunikan peribadi. Apabila ribuan pengguna menyerbu kedai yang sama dan memilih style yang serupa, kebarangkalian untuk bertemu dengan individu lain yang memakai pakaian yang identikal di sebuah majlis rumah terbuka adalah sangat tinggi. Situasi ini sering kali mengurangkan seri, keunikan dan keistimewaan pakaian itu sendiri.
Di sinilah letaknya nilai estetika dan kualiti baju yang ditempah khas (custom-tailored). Meskipun prosesnya bersyarat kesabaran, setiap helaian baju yang dihasilkan menggambarkan personaliti pemakainya. Pakaian tempahan khas menawarkan sesuatu yang tidak boleh direplikasi secara besar-besaran di kilang, iaitu ketepatan ukuran mengikut bentuk badan individu dan kebebasan untuk memilih perincian jahitan yang unik. Ia bukan sekadar pakaian, tetapi merupakan satu seni buatan tangan yang membawa identiti eksklusif yang tiada batas gantinya.
Peralihan trend ini sebenarnya mencerminkan bagaimana masyarakat Malaysia mengadaptasi tradisi ke dalam arus kemodenan. Pilihan di tangan pengguna kini lebih luas, sama ada mahu mengekalkan tradisi menempah baju demi kepuasan estetik, atau memilih kemudahan RTW demi kelancaran urusan seharian. Dengan itu juga, industri fesyen tempatan mebuktikan bahawa mereka mampu memenuhi kedua-dua kehendak pasaran.
Pada akhirnya, pilihan antara tailor-made dan RTW bergantung sepenuhnya kepada keutamaan dan nilai yang dipegang oleh individu tersebut. Walau apa pun pilihannya, matlamat utama masyarakat tetap sama, iaitu untuk meraikan kemenangan di hari yang mulia dengan penampilan yang paling segak, anggun, yakin, dan selesa.




Comments