top of page
Search

Scam Halus Raya: Realiti Pemasaran Manipulatif

Menjelang sambutan Aidilfitri, industri fesyen tempatan kebiasaannya menyaksikan lonjakan permintaan yang luar biasa. Di sebalik kemeriahan ini, wujud satu amalan yang kini dikenali sebagai "scam harga" yang berlaku secara terbuka. Amalan ini merujuk kepada taktik pemasaran agresif yang mengeksploitasi pemikiran pengguna, namun gagal memberikan nilai serta kualiti yang setimpal dengan penjualan yang dilakukan. 


Persoalan utama yang timbul dalam kalangan pembeli adalah mengenai kewajaran harga pakaian perayaan yang kini mampu mencecah RM500 sepasang. Sering kali, fabrik yang digunakan hanyalah material biasa yang mudah didapati di pasaran borong. Namun, dengan hanya meletakkan label jenama, harga tersebut melonjak ke paras yang tidak masuk akal. Fenomena ini dilihat sebagai satu bentuk penindasan di bawah bayang penjenamaan (branding).


Peniaga sekarang semakin bijak dengan menggunakan psikologi Fear of Missing Out (FOMO) bagi mendesak pengguna membuat keputusan pembelian yang segera. Melalui label "Edisi Terhad" atau sistem pre-order, pembeli diletakkan dalam keadaan gelisah seolah-olah stock akan habis dengan begitu cepat.


Malangnya, realiti sering kali tidak selari dengan jangkaan. Apabila produk sampai ke tangan pembeli, timbul pelbagai isu kualiti seperti potongan saiz yang tidak kemas, material kain yang bermutu rendah, serta rupa fizikal yang jauh berbeza daripada imej yang dipaparkan dalam iklan. Pada tahap ini, kerugian sepenuhnya ditanggung oleh pembeli kerana baju telah pun dibayar manakala kualiti yang dijanjikan hanyalah penipuan di skrin.


Satu lagi trend yang mewujudkan rasa tidak puas hati antara masyarakat adalah penggunaan model antarabangsa atau "Mat Saleh" untuk mempromosikan pakaian tradisi seperti Baju Melayu. Model-model ini yang kebiasaannya memiliki ciri fizikal dan warna kulit berlainan dengan majoriti rakyat Malaysia menimbulkan ekspektasi berlainan dengan apa yang telah dibiasakan.


Kesannya, muncul lagi jurang persepsi antara gambar iklan dengan realiti pemakaian oleh rakyat marhaen. Apabila pengguna memakai pakaian tersebut, timbul rasa tidak puas hati kerana cutting yang direka untuk badan model tidak sepadan dengan fizikal pembeli tempatan. Keputusan peniaga untuk tidak menggunakan model yang lebih grounded atau mewakili masyarakat tempatan dilihat sebagai satu kegagalan dalam memahami sasaran pasaran mereka sendiri.


Industri fesyen tempatan memerlukan satu anjakan etika yang lebih ikhlas dan pembeli juga harus lebih bijak dan berwaspada agar tidak menjadi mangsa kepada standard industri yang bersifat manipulatif semata-mata untuk menaikkan sales pada musim perayaan. Membayar harga kayangan untuk produk yang tidak berkualiti hanya kerana pengaruh model import atau ketakutan terhadap stok terhad adalah satu tindakan yang merugikan. Kembali semula kepada menghargai nilai sebenar pembelian baju raya iaitu kualiti serta kejujuran sebuah perniagaan.


 
 
 

Comments


bottom of page