Wang Tanpa Tunai: Ancaman E-Wallet
- Asya
- 6 days ago
- 2 min read
Hanya sedekad yang lalu, dompet yang tebal dengan wang tunai dan timbunan kad kredit adalah pemandangan biasa di kaunter pembayaran seluruh dunia. Namun hari ini, senarionya telah berubah secara drastik apabila imbasan kod QR yang ringkas kini menjadi penggunaan utama dalam urusan jual beli harian. Evolusi teknologi ini bukan sahaja mengubah cara kita membayar, tetapi juga merombak cara kita berinteraksi dengan ekonomi secara keseluruhannya. Di sebalik kepesatan ini, timbul satu perdebatan hangat.
Adakah evolusi e-wallet ini merupakan satu kemudahan atau sebenarnya satu ancaman tersembunyi buat golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU)?

Pada peringkat awal, e-wallet dianggap sebagai sesuatu yang asing dan hanya digunakan oleh golongan yang celik teknologi. Di Malaysia, penggunaan awal hanya terhad kepada fungsi asas seperti membayar tol atau membeli tiket wayang secara dalam talian. Keyakinan pengguna pada waktu itu sangat rendah kerana ramai yang masih meragui keselamatan simpanan wang dalam telefon pintar berbanding kebergantungan tradisional pada wang kertas fizikal yang lebih nyata.
Namun, pandemik COVID-19 telah menjadi pemacu yang memaksa masyarakat beralih kepada pembayaran tanpa sentuh, sekaligus menjadikan kod QR sebagai pemandangan biasa dari pasar malam hingga ke pusat membeli-belah.
Bagi sesetengah pihak, peralihan drastik kepada sistem digital dianggap sebagai satu bentuk diskriminasi sosial. Warga emas yang sudah terbiasa dengan tekstur wang kertas dan pengiraan manual sering merasa keliru dengan antaramuka aplikasi yang kompleks. Golongan OKU, terutamanya yang mempunyai masalah penglihatan atau motorik, turut berdepan kesukaran untuk mengimbas kod QR atau membaca teks kecil di skrin telefon. Tanpa sokongan yang betul, kewujudan masyarakat tanpa tunai dikhuatiri akan meminggirkan golongan ini daripada aktiviti ekonomi asas, menjadikan mereka mangsa kepada jurang digital yang semakin melebar.
Namun, di sudut pandang yang berbeza, ramai pakar berpendapat bahawa golongan ini tidak seharusnya dikecualikan, sebaliknya perlu dibantu untuk beradaptasi dengan perubahan. Teknologi e-wallet sebenarnya menawarkan keselamatan yang lebih tinggi bagi mereka. Sebagai contoh, warga emas tidak lagi perlu membawa wang tunai yang banyak yang sering menjadikan mereka sasaran jenayah ragut. Bagi golongan OKU pula, ciri-ciri teknologi bantuan seperti pembaca skrin (screen readers) dan arahan suara pada telefon pintar sebenarnya boleh memudahkan transaksi tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan fizikal orang lain.
Isunya bukan terletak pada teknologi itu sendiri, tetapi pada reka bentuk aplikasi yang harus lebih inklusif dan mesra pengguna bagi semua lapisan masyarakat. Tanggungjawab untuk merapatkan jurang ini tidak seharusnya diletakkan di bahu warga emas dan OKU semata-mata. Penggunaan e-wallet secara global merupakan bukti bahawa teknologi sentiasa mencari jalan untuk menjadikan kehidupan lebih efficient, namun kejayaan sebenar evolusi ini hanya akan tercapai apabila ia mampu memberi manfaat kepada setiap individu, tanpa mengira usia atau keupayaan fizikal.




Comments