Inovasi Baju Melayu: Melestarikan Tradisi Dalam Arus Kemodenan
- Asya
- 7 hours ago
- 2 min read

Setiap kali menjelangnya musim perayaan, keinginan untuk kelihatan segak dan muncul dengan gaya yang unik merupakan satu kebiasaan dalam masyarakat. Evolusi fesyen yang begitu deras telah membawa gelombang perubahan yang signifikan kepada pakaian tradisional, khususnya Baju Melayu. Walau bagaimanapun, di tengah-tengah antusiasme mengejar trend terkini serta keinginan untuk mendapatkan pakaian yang lain daripada lain, timbul satu perdebatan di mana kemodenan ini sedang menghakis identiti asli yang menjadi teras kebanggaan bangsa.
Kebelakangan ini, industri fesyen tanah air menyaksikan pelbagai eksperimen kreatif yang dilabel sebagai 'inovasi' dalam rekaan Baju Melayu. Masyarakat dihidangkan dengan pelbagai variasi yang mencabar norma, daripada penggunaan fabrik yang bersifat see-through, rekaan kurta tanpa lengan, sehinggalah kepada potongan Baju Melayu yang mempunyai elemen pakaian wanita.
Meskipun kebebasan berkarya dan ruang untuk berekspresi seni sentiasa diraikan, ia tidak seharusnya dijadikan lesen mutlak untuk menghilangkan adab serta identiti Baju Melayu yang telah dipelihara sejak sekian lama. Penggunaan tiket 'seni' untuk memperkenalkan rekaan yang bercanggah dengan nilai kesopanan bukan sahaja mengelirukan generasi muda, malah dilihat sebagai satu bentuk pencemaran terhadap estetika warisan yang mempunyai cara pemakaiannya yang tersendiri.
Perlu ditegaskan juga bahawa Baju Melayu ini bukanlah sekadar kombinasi kain dan benang semata-mata. Setiap potongan daripada kolar sehinggalah ke kedudukan butang dan samping, sarat dengan pendirian dan melambangkan jati diri serta maruah pemakainya. Apabila sesuatu rekaan mula melangkaui batas kesopanan, bersifat mencolok mata, mahupun sengaja melanggar fitrah pemakaian lelaki, ia bukan lagi boleh dikategorikan sebagai satu kemajuan dalam dunia fesyen yang ingin mewarisi pakaian tradisional.
Sebaliknya, rekaan sedemikian menjatuhkan nilai asal yang melambangkan ketegasan, kewibawaan serta keperibadian seorang lelaki Melayu. Fesyen yang mampan adalah fesyen yang menghormati struktur asas tradisi tersebut tanpa mengubah fitrahnya sehingga menjadi sesuatu yang asing bagi budaya asal.
Menerapkan elemen moden dalam pemakaian bukanlah satu kesalahan malah pereka jenama lokal perlu berani melakukannya bagi memastikan pakaian tradisional kekal relevan dalam arus zaman. Walau bagaimanapun, pemodenan Baju Melayu haruslah dilakukan dengan tertib supaya ia tetap mengekalkan roh dan sifat maskulinnya. Inovasi yang berjaya adalah inovasi yang mampu memaparkan ketegasan tradisi dan nilai eksklusif walaupun dalam nafas yang baharu. Penghormatan terhadap tradisi adalah cermin kepada penghormatan kita terhadap asal-usul, sejarah, dan akar budaya yang membentuk siapa kita pada hari ini.
Dunia seni sememangnya luas dan tidak bersempadan, namun identiti sesuatu bangsa mempunyai batasan dan garis panduan yang perlu dihormati demi kelestariannya. Inovasi seharusnya bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan masa lampau dengan masa hadapan, bukannya sebagai alat yang menghancurkan nilai murni yang telah lama bertapak.
Baju Melayu haruslah dikekalkan sebagai lambang maruah dan kebanggaan lelaki Melayu yang sejati, sebuah pakaian yang bukan sahaja indah pada pandangan mata, tetapi teguh memegang prinsip adab, fitrah, dan jati diri bangsa yang tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.




Comments